Ahad, 11 Oktober 2009

gempa bumi di padang




Gempa bumi di Sumatera Barat terburuk sejak 2006, dan sukar dilupai mangsa

KEJADIAN gempa bumi di Sumatera Barat pada 30 September lalu sudah tentunya sukar dilupai oleh penduduk di kawasan terbabit, mahupun orang lain yang turut menghulurkan bantuan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.

Negara kita, umpamanya, yang bernasib baik kerana tidak berada di garisan gempa yang berbahaya seperti di Indonesia, turut bersimpati dan menghulurkan apa juga bantuan yang boleh, dari segi bantuan fizikal dan bukan fizikal, termasuk sumbangan ikhlas barangan dan derma kewangan.

Kita melihat Indonesia sebagai rakan serumpun yang tidak boleh dibiarkan begitu saja apabila berlaku sesuatu bencana, walaupun ada pihak tertentu cuba menidakkan peranan kita ini. Apalah gunanya kita sebagai rakan negara dalam rumpun kepulauan Melayu, jika kita juga bertindak balas mengikut perasaan, sedangkan negara lain datang dari jauh di Timur dan Barat, bagi menghulurkan bantuan masing-masing.

Kesan daripada gempa bumi seperti ini sememangnya besar. Menurut angka rasmi yang dilaporkan, jumlah kematiannya mencecah 739 orang, selepas 35 mangsa lagi ditemui maut sehingga Khamis lalu.

Agensi Pengurusan Bencana Indonesia pula berkata sejumlah 296 mangsa lagi masih hilang dan 2,219 cedera dalam gempa berukuran 7.6 pada Skala Richter itu. Kira-kira 180,000 rumah dianggarkan musnah teruk atau leper, mengakibatkan kira-kira setengah juta orang kehilangan tempat tinggal. Bangunan kerajaan dan swasta, sekolah dan masjid turut musnah dan perlu dibina semula.


Dalam menghadapi bencana sebesar itu, penduduk di Padang, khususnya dan kawasan perkampungan di sekitarnya sudah tentunya memerlukan belas kasihan negara lain, justeru, anggota suka rela dari hampir 20 negara berada di bumi Sumatera Barat bagi menghulurkan bantuan.

Rabu lalu, anggota suka rela buat pertama kalinya berjaya sampai ke zon bencana di pedalaman, bagi penghantaran makanan dan minuman di kawasan perkampungan yang terputus hubungan kerana jalan runtuh.

Di Lubuk Laweh, pemilik rumah cuba menyelongkar kesan runtuhan daripada rumah mereka yang sudah menyembah bumi, untuk mencari barangan yang masih boleh diselamatkan. Kanak-kanak pula dilaporkan agensi berita antarabangsa bermundar-mandir di jalan sambil meminta pertolongan, apabila konvoi lori yang membawa bekalan makanan dan air berarak masuk.

"Saya kehilangan segala-galanya," kata Yur, 42, seorang ibu enam anak, di luar rumahnya yang musnah teruk di Lubuk Laweh, akibat ditimpa pokok kelapa. "Kami kini hidup atas belas kasihan orang lain. Kami terpaksa menumpang tidur di rumah jiran. Saya bimbang anak kecil saya jatuh sakit," kata Yur.

Seminggu selepas kejadian itu, usaha untuk mencari mangsa dihentikan. Kawasan timbunan di mana mayat tertimbus dijadikan kubur tempat bersemadinya mangsa yang sudah tidak dapat dikesan lagi.

Tumpuan terpaksa dialihkan kepada mangsa lain yang masih hidup, yang bukan saja memerlukan tempat perlindungan dan makan minum, tapi juga penjagaan kesihatan.

Sumatera Barat, seperti di kebanyakan tempat lain di Indonesia tidak mempunyai sistem penjagaan kesihatan teratur, menyebabkan anggota suka rela perubatan bukan saja merawat mangsa yang mengalami kecederaan akibat gempa, tapi juga mereka yang menghidapi penyakit kronik seperti diabetes.

Ada di kalangan penduduk pedalaman di kawasan terbabit tidak pernah menemui doktor sepanjang hayat mereka. Kunjungan doktor dan pembantu perubatan ini menjadi peluang terbaik bagi mereka mengadu penderitaan penyakit yang dialami selama ini.

Kejadian di Sumatera Barat ini kini menjadi satu lagi peristiwa dalam lipatan sejarah gempa bumi di Indonesia, malah ia adalah yang terburuk sejak kejadian di Yogyakarta yang mengorbankan kira-kira 6,000 orang pada 2006.

Indonesia terletak di garisan bumi yang sering dilanda gempa. Kejadian terbaru ini berlaku sejajar dengan zon yang mengakibatkan tsunami di Asia pada 2004 yang mengorbankan 230,000 orang.

Masalah utama yang mendepani mereka kini adalah untuk membina semula satu kehidupan baru daripada debu kemusnahan gempa itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan